Thursday 2 January 2014

Datanglah ke Ponggol Kampung Chetti

Sejak turun-temurun, pesta menuai atau Ponggol disambut secara besar-besaran dan penuh meriah oleh penduduk minoriti Chetti di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka.
 
Bagaimanapun, berikutan isu projek pembinaan bangunan pencakar langit di atas tanah “Lot 93” baru-baru ini, kami para penduduk perkampungan warisan berkenaan sudah mula tertanya-tanya apakah kami akan mampu meneruskan tradisi ini atau kampung kami akan pupus tidak lama lagi.
 
Pada 29 Disember 2013, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) datang untuk mengendalikan bengkel sehari penulisan makalah, komunikasi media, fotografi dan videografi khusus bagi penduduk Kampung Chetti.
 
Program “Solidariti Kampung Chetti” bukanlah acara demonstrasi dan tunjuk perasaan penuh emosional. Sebaliknya wakil Kavyan berkongsi ilmu dan pengetahuan tentang cara-cara kaum Chetti boleh memperjuangkan hak serta membuka mata orang ramai, media dan kerajaan secara profesional dan tersusun.
 
Kami yang selama ini bergantung kepada cara-cara konvensional telah mendapatkan pelbagai maklumat berguna mengenai teknik non-konvensional dan alternatif seperti diberikan tunjuk-ajar oleh wakil kumpulan penulis itu.
 
Kami mengadakan sidang media dan sesi taklimat khas pada tarikh yang sama berbekalkan segala ilmu dan panduan yang dipelajari. Kehadiran orang ramai, warga prihatin dan wakil media amat membanggakan.
 
Kesan segera yang diperolehi amatlah membanggakan. Kami dimaklumkan bahawa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sudah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan terhadap projek pembangunan di “Lot 93” – BACA DI SINI.
 
Perkembangan positif ini mengembalikan semangat dan harapan kami sebagai penduduk Kampung Chetti. Kami merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu kami, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam perjuangan ini.
 
Sambutan Ponggol – atau biasanya disebut “Ponggal” oleh kaum India – di Kampung Chetti pada kali ini disambut secara sederhana tetapi penuh makna sebagai tanda kaum Chetti bersyukur.
 
Saya selaku Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka serta pengerusi Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (SPVM) menjemput, mengundang dan mempersilakan orang ramai sama-sama hadir menyerikan sambutan kecil-kecilan ini.
 
Pada 5 Januari 2014, kerja-kerja pembersihan tanah perkuburan nenek-moyang kami dan upacara sembahyang khas akan berlangsung di tanah perkuburan Jelutong.
 
Acara Bhogi dan Parachu (sembahyang arwah) akan diadakan di rumah penduduk kaum Chetti pada sebelah malam 13 Januari; sementara sambutan Thai Ponggol (acara utama) secara beramai-ramai dijadualkan di Kuil Sivan pada sebelah pagi, 14 Januari.
 
Acara Mathu Ponggol bagi meraikan lembu pula akan berlangsung pada 15 Januari, manakala Kanni Ponggol melibatkan upacara memasak nasi manis secara beramai-ramai oleh anak-anak gadis dijadualkan pada 16 Januari.
 
Kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai yang bukan sahaja hadir untuk menyerikan sambutan Ponggol, tetapi datang untuk memberikan sokongan moral terhadap perjuangan kami mempertahankan kampung warisan ini.
 
Orang ramai boleh melayari www.facebook.com/ChettiMelaka atau www.kampungchetti.blogspot.com untuk maklumat lanjut mengenai sambutan Ponggol dan pelbagai topik berkaitan Kampung Chetti.
 
[K Supramania Pillay adalah Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka serta pengerusi Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal kaum Chetti Melaka. Kenyataan media ini dikeluarkan pada 2 Januari 2014 dengan kerjasama Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya serta disiarkan di Free Malaysia Today pada 2 Januari 2014 dan di akhbar Tamil Malar pada 4 Januari 2014..]